PSB ANJUR PAMERAN ANCAMAN JENAYAH SCAMMER

PSB Online –   Hari ini semakin kerap kita membaca dan melihat di media cetak mahupun elektronik mengenai  pelbagai  pendedahan berkaitan jenayah siber khususnya  jenayah penipuan ataupun scam. Ancaman jenayah scam merupakan isu yang perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak kerana  ia meninggalkan pelbagai kesan negatif kepada mangsa.  Jenayah penipuan scam ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja daripada golongan professional sehinggalah kepada kelompok pesara kerajaan, nelayan, petani, kakitangan kerajaan dan swasta termasuklah warga emas dan pelajar.

Menyedari hal itu, Jawatankuasa Pameran  Unit Perkhidmatan Pelanggan, Bahagian Perkhidmatan Pengguna, Perpustakaan Sultanah Bahiyah  (PSB) telah menganjurkan satu pameran mengenai acaman jenayah scammer di Malaysia bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai bahana jenayah ini. Pameran ini  telah bermula pada awal November lalu dan akan berakhir pada 31 Disember 2020  nanti. Pengunjung PSB boleh mengunjungi  pameran ini di ruang pameran Aras 2 Bangunan Tambahan PSB bermula dari  jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang.

Antara kandungan paparan pada panel pameran ialah informasi bergambar dan teks mengenai  definisi  scam, sejarah awal jenayah  ini bermula,  ancaman jenayah scam, modus operandi scammer, jenis-jenis scammer di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Selain itu, pameran ini juga turut mempamerkan maklumat mengenai cara    mengenal pasti  scammer beserta  akta-akta berkaitan yang boleh dirujuk bertujuan untuk melindungi rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa scammer. Turut  dipaparkan adalah maklumat berbentuk infografik kreatif,  keratan akhbar dan statistik jenayah terancang untuk menarik minat pembaca mengunjungi pameran ini. Tidak lupa, pameran ini juga turut menyediakan tayangan video berkaitan kes-kes penipuan yang terkini dan sedang berleluasa di negara kita. Di pameran ini juga, survey untuk mengetahui tahap kesedaran pengunjung mengenai acaman jenayah ini dengan menjawab dua  soalan yang dikemukakan  di penghujung pameran juga turut disediakan sebagai interaksi antara bahan pameran dan pengunjung. Soalan ini boleh dijawab secara atas talian dengan menggunakan aplikasi Google Form dan hanya boleh diakses  setelah pengunjung mengimbas QR code yang tersedia.

Menurut Ketua Unit Perkhidmatan Pelanggan, Puan Asmaniza Mansor, “Objektif utama pameran ‘Ancaman Jenayah Scammer’ ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran kepada golongan kakitangan dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) khususnya kepada pelajar tempatan, juga kepada pelajar antarabangsa  untuk  sentiasa cakna tentang perkembangan terkini ancaman jenayah siber ini. Sikap tidak peduli  untuk membaca, mempelajari dan mengetahui kelicikan pancingan scammer akan menjerumus golongan ini menjadi mangsa penipuan jenayah siber dengan mudah”.

Semoga pameran ini  bermanfaat untuk memberi pendedahan sebaiknya  kepada semua pengunjung. Sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa penipuan seterusnya  kerana scammer dilatih menguasai dengan baik perkembangan teknologi dan menguasai  kemahiran memanipulasi individu untuk menipu. Percayalah, scammer ada di mana-mana sahaja. Celik mata dan buka minda agar kita tidak mudah memberi wang kepada scammer ini.

 

Disediakan dan gambar oleh : Azniza Ahmad