PSB GEMBLENG TENAGA LAKSANA PROJEK TINGKATKAN AKSES KEPADA KOLEKSI BAHAN UNDANG-UNDANG

PSB Online  – Unit Pengurusan Koleksi, Bahagian Sumber Ilmu Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah bergotong royong melaksanakan projek pemindahan bahan Koleksi Undang-Undang dan bahan Koleksi Media untuk memantapkan lagi perkhidmatan  kepada pengguna PSB.

Projek pemindahan ini melibatkan seramai 23 orang staf PSB yang menggembleng tenaga melaksanakan proses pemindahan bermula daripada proses menurunkan semua buku dari rak terlibat, kemudian proses memunggah dan memasang kembali rak di lokasi yang ditetapkan. Setelah itu, penyusunan semula buku mengikut bacaan nombor panggilan perlu dibuat agar ianya dapat diakses oleh semua pengguna apabila semester bermula nanti.

Proses pemindahan ini dilaksanakan bertujuan untuk merealisasikan hasrat pengurusan yang ingin mewujudkan ruangan khas yang boleh membantu proses pengajaran dan pembelajaran university agar ianya dapat dimanfaatkan dalam mendokong hasrat universiti melahirkan graduan yang berjaya.  Selain itu juga, pemusatan koleksi di bangunan tambahan dijangka akan memantapkan lagi perhidmatan PSB dengan lebih sistematik dan efektif.

Projek ini telah bermula pada 01 Mac 2023 dan dijangka berakhir pada 22 Mac 2023. Proses pemindahan ini sedikit mengambil masa kerana ianya  melibatkan pemindahan dua koleksi bahan utama di Perpustakaan. Selain itu juga, kesemua petugas perlu melakukan proses pemunggahan, pemindahan dan pemasangan semula rak bahan koleksi Undang Undang yang berada di paras 5 Bangunan Utama  ke Bilik Koleksi Media yang berada di paras 3, Bangunan Tambahan. Sementara itu semua Bahan Koleksi Media yang berada di lokasi pemindahan, perlu dikosongkan dan dipindahkan dahulu ke Bilik Kompektus Rujukan di paras 5 Bangunan Utama PSB untuk memberi ruang kepada Koleksi Undang-Undang untuk diletakkan.

Projek pemindahan dan penempatan semula bahan ini  telah dikelola dan dipantau oleh Puan Rahimah Ishak, Penolong Ketua Pustakawan selaku Ketua Bahagian Sumber Ilmu dan dikawal selia oleh Tuan Haji Abdul Hadi Hassan, Ketua Unit Pengurusan Koleksi. Projek ini sememangnya memerlukan kerjasama dan semangat kepasukanan yang tinggi untuk dilaksanakan. Petugas terlibat ternyata amat komited dan ringan tulang demi menyiapkan projek ini mengikut garis masa yang ditetapkan agar PSB bersedia untuk memberi perkhidmatan yang cekap apabila semester baharu dibuka nanti yang dijangka pada April 2023 ini.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Syed Muhammad Amirul Ashraf Bin Syed Ismail