PSB Online: Bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), satu sesi pembentangan projek individu kedua oleh pelajar latihan industri telah diadakan pada 12 Januari 2020.
Bermula jam 9.00 pagi, sesi ini dimulakan dengan sedikit taklimat ringkas oleh Ketua Pustakawan mengenai persiapan untuk arahan Bekerja Daripada Rumah (BDR) memandangkan penularan wabak penyakit Covid-19 yang semakin meningkat dan memaksa kerajaan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri Kedah.
Setelah itu, sesi pembentangan dimulakan dengan saudari Fatimah Az-Zahra Zainud-din dengan projek beliau bertajuk “Libguides: General Knowledges” di bawah seliaan Pn. Fadzilah Hussin dari Unit Pendidikan Pengguna, Bahagian Perkhidmatan Pengguna. Menerusi pembentangan beliau, projek ini dilihat mampu menggariskan kemahiran pengetahuan tertentu dan minda yang berkualiti selain dapat meningkatkan kemahiran berfikir dan nilai-nilai moral yang murni.
Pembentangan seterusnya adalah oleh saudara Muhamad Ammar Miqdad Muhammad Supri dengan tajuk beliau “Rebranding Children’s Corner”. Menurut beliau, sudah tiba masanya “Children’s Corner” atau Sudut Kanak-Kanak (SKK) diberi sedikit sentuhan perubahan agar kelihatan lebih menarik dan terkini. Pelbagai idea-idea baharu juga turut dicadangkan antaranya adalah mewujudkan sudut permainan (kids playground), menambahbaik fasiliti sedia ada dengan menyediakan ‘bean bag’, ‘wall painting’ dan lain-lain lagi.
Pembentangan projek oleh pelajar latihan industri yang ketiga adalah oleh saudari Nur Imanina Najwa Ruslie. Beliau telah membentangkan projek bertajuk “Sistem Penghantaran Tesis Secara Dalam Talian”. Projek ini mampu membantu meringankan beban kerja staf selain menggalakkan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) membuat penghantaran tesis secara atas talian.
Ketiga-tiga projek yang telah dibentangkan sememangnya adalah terbaik dan mampu menambahbaik servis dan perkhidmatan di PSB. Menerusi penghasilan projek oleh pelajar latihan industri ini, ianya juga dilihat mampu memberi pendedahan dan pengetahuan yang lebih kepada mereka semua sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan kelak. Sesi ini berakhir sekitar jam 12.00 tengahari.
Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias