SESI PERJUMPAAN KETUA PUSTAKAWAN YANG TERAKHIR BERSAMA SEMUA STAF PSB SEBELUM PERSARAAN

PSB Online  – Bakal bersara tidak lama lagi, Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa telah mengadakan perjumpaan khas bersama semua staf pimpinannya pada 3 dan 5 April 2023 yang lalu. Perjumpaan ini adalah yang terakhir sebelum beliau bersara pilihan pada 30 April 2023 nanti bertempat di Auditorium 1, PSB.

En. Salleh Hudin memulakan perkongsiannya dengan mengajak para hadirin untuk menghayati dan mendalami maksud tersirat bait-bait lirik lagu puitis dalam kehidupan seperti lagu yang didendangkan oleh Didi Jamil bertajuk “Yang Tak Berbeza”. Menurut beliau, bait-bait lagu ini jika dihayati ianya amat bermakna dan bererti dalam kehidupan manusia dan boleh dijadikan sebagai pedoman. Mula berkhidmat di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 1993, En. Salleh Hudin Mustaffa berkongsi garis masa perjalanan beliau sepanjang menjadi Ketua Pustakawan. Beliau juga mengingatkan mengenai peranan dan fungsi Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan apa yang harus dilakukan untuk kekal relevan. Tambah beliau lagi, sebagai Perpustakaan akademik, kita adalah terikat di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU 1971 Akta 30) dan juga Perlembagaan Universiti Utara Malaysia dan sepanjang menyandang jawatan Ketua Pustakawan, beliau juga turut terikat di bawah statut jawatan Ketua Pustakawan UUM.

Selain perkongsian mengenai hala tuju PSB, beliau juga turut mengingatkan kepada semua hadirin bahawa sebagai staf Perpustakaan, kita perlu menitikberatkan mengenai kepentingan sikap ringan tulang, suka bantu-membantu dan menolong sesama rakan-rakan. Peranan PSB sebagai Perpustakaan akademik adalah untuk memenuhi kehendak pelanggan iaitu pelajar dan pensyarah untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran mereka. Beliau juga sempat berpesan agar setiap kali hadir bekerja, kita perlu menanamkan niat untuk beribadah agar setiap apa yang kita lakukan akan mendapat pahala amal untuk bekalan di akhirat kelak.

Selain daripada itu, Encik Salleh Hudin menghurai dan menjelaskan tentang carta fungsi PSB yang terkini. Beliau mengingatkan untuk cakna dan ambil tahu tentang fungsi dan hubungkait bahagian bahagian yang lain supaya dapat saling tolong-menolong sesama bahagian dan juga sebagai persediaan minda sekiranya berlaku rombakan dan pertukaran staf. Beliau juga mengingatkan semua kumpulan pelaksana tentang hakikat sekarang adalah dunia transformasi dengan perkembangan teknologi yang pantas. Untuk memenuhi keperluan itu, beliau berharap semua staf dapat menambah ilmu dengan pembelajaran berterusan dan sedia untuk berubah.

Sebelum tamat, beliau juga turut menyentuh mengenai perancangan Perpustakaan Universiti Awam seperti STAR Library Framework dan perkhidmatan “MYUNINET” untuk pengetahuan semua hadirin.  Tambah beliau lagi, menempuhi pelbagai cabaran masa hadapan yang menitikberatkan kompetensi baharu yang juga menuntut perubahan kaedah kerja yang tidak sama lagi seperti hari ini  dijangka akan berlaku. Oleh yang demikian, beliau menyeru semua staf yang supaya bersiap sedia menghadapi cabaran situasi kerja baharu dengan menghadiri latihan meningkatkan kompetensi diri, saling tolong-menolong dan  membuang sikap terlalu berkira tentang sumbangan tenaga dan masa bekerja.

Turut dijemput menyampaikan tazkirah ringkas adalah Ustaz Mohd Yusnaidi Bin Md. Sabri, Pegawai Tadbir dari Pusat Islam.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad dan Noraini Alias

Gambar :  Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail