PSB Online – Siri Syarahan Santun Profesor kali ke-3 anjuran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan kerjasama Majlis Profesor diteruskan lagi dengan mengundang Prof. Dr. Noor Azniza Ishak, Pensyarah dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM). Sesi syarahan ini telah diadakan pada 18 April 2023 yang lalu bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama PSB.
Topik yang diketengah dan dikupas pada sesi kali ini adalah berkaitan Personaliti dan Kerjaya. Menurut Prof. Dr. Noor Azniza dalam bidang psikologi, personaliti ditakrifkan sebagai himpunan pola emosi, pemikiran dan perlakuan yang unik untuk seseorang dan tekal dengan masa. Seterusnya Prof. Dr. Noor Azniza juga turut menerangkan kaitan personaliti dan pemilihan kerjaya. Katanya setiap individu pada hakikatnya membuat pilihan pekerjaan berasaskan ciri personalitinya yang bersesuaian dengan sesuatu bidang pekerjaan yang ingin diceburi. Menurutnya, terdapat 6 jenis personaliti yang semua individu boleh dikategorikan dalam memilih kerjaya iaitu personaliti realistik, investigatif, artistik, sosial, berdaya usaha atau konvensional dan yang terakhir adalah enterprising.
Selain itu, beliau juga mengupas mengenai hubungan di antara manusia dan personaliti warna. Psikologi warna adalah teori yang digunakan untuk menjelaskan pengaruh warna terhadap suasana hati, perasaan, emosi, dan perilaku manusia. Ciri-ciri personaliti seseorang juga boleh dikenali melalui warna dengan menjawab Inventori Personaliti Warna (IPW). IPW mempunyai 4 skala iaitu skala Emas, Hijau, Biru dan Unggu. IPW digunakan untuk mengukur dan mengenalpasti ciri-ciri personaliti seseorang. Selain itu warna kesukaan seseorang juga boleh menpengaruhi perilaku manusia. Setiap warna mempunyai makna tersendiri dan dipercayai boleh mempengaruhi tindak-tanduk, kelebihan dan kekurangan seseorang. Antara 8 jenis warna kesukaan yang dikatakan boleh mempengaruhi kehidupan dan keperibadian seseorang iaitu merah, kuning, biru, hijau, jingga, merah jambu, putih, dan hitam.
Majlis santun professor ini selain diadakan secara bersemuka, ianya juga turut bersiaran secara langsung menerusi saluran Facebook Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan telah berjaya menarik seramai 193 orang peserta. Turut hadir sebagai tetamu jemputan adalah kakitangan Pusat Kaunseling dan Pusat Pembangunan Kerjaya HEP UUM dan guru-guru kaunseling dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Majlis syarahan ini diakhiri dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderahati kepada pembicara serta tetamu undangan.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Syed Muhammad Amirul Ashraf Bin Syed Ismail