PSB Online – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima dua Lawatan Penilaian Audit Pematuhan Pascasiswazah secara atas talian dari para Panel Auditor pada 21 Feb 2021. Ini adalah audit pematuhan akreditasi bagi 4 Program Pascasiswazah bagi Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dan juga bagi Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Tujuan lawatan penilaiaan audit pematuhan ini adalah untuk memastikan PSB sebagai sebuah pusat sumber maklumat telah berjaya menyediakan prasarana, kemudahan dan perkhidmatan yang relevan dan terkini dalam memenuhi kehendak dan keperluan pelajar khususnya pelajar program pasca siswazah bagi menyokong usaha pembelajaran dan pengajaran di UUM.
Lawatan audit secara siaran langsung (live streaming) ini telah bermula pada pukul 3.00 petang menerusi aplikasi Cisco Webex di Aras 2, Bangunan Tambahan PSB. Proses audit ini telah diadakan melalui 2 sesi. Sesi lawatan maya yang pertama adalah bagi mengaudit Program Pascasiswazah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Islam. Auditee yang mewakili PSB adalah Cik Noraini Alias, Pustakawan dari Unit Komunikasi Korporat PSB. Manakala, lawatan audit bagi Program Pascasiswazah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun, dan Falsafah pula bermula pada jam 3.30 petang dan dipandu oleh Puan Wan Hanis Kamarruddin, Pustakawan dari Unit Perkhidmatan Maklumat Ilmiah.
Sesi lawatan bagi kedua-dua sesi ini telah dimulakan dari bilik khusus disediakan untuk pelajar pascasiswazah UUM iaitu ‘Postgraduate Learning Common’. Di lokasi ini, para Auditor telah dibawa meninjau kemudahan yang tersedia di situ seperti bilik perbincangan, karel terbuka, ruang bacaan umum, ruang santai dan ruang meja berkomputer. Seterusnya lawatan diteruskan ke Kaunter Khidmat Pelanggan untuk melihat sumber e-resources yang dilanggan PSB seperti pangkalan data, e-book , UUM resources dan juga open access resources. Auditor juga turut dibawa meninjau secara selayang pandang dari aras dua ke aras satu yang menempatkan keseluruhan koleksi umum di PSB. Auditor juga turut dimaklumkan bahawa buat masa ini, koleksi umum adalah tidak dibuka untuk diakses oleh pengguna PSB ekoran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pandemik COVID-19 .
Lawatan penilaian audit pematuhan ini telah berakhir pada jam 4.00 petang dengan beberapa soalan turut diaju oleh para panel auditor. PSB mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua staf yang terlibat yang telah memberi komitmen dan kerjasama yang tinggi untuk membantu menjayakan proses audit secara atas talian ini.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Azniza Binti Ahmad dan Wan Hanis Kamarruddin