PSB Online – Bicara@Muzium : Teknik dan Kaedah Eskavasi Arkeologi Lembah Bujang adalah sebuah program perkongsian ilmu mengenai dunia permuziuman anjuran Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Ianya telah diadakan pada 18 Julai 2021 secara atas talian menggunakan platform Google Meet dan disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Muzium Arkeologi Lembah Bujang – Malb.
Program ini telah dikendalikan oleh En. Azman Adam, Pengarah Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang bertindak sebagai moderator. Bicara@Muzium ini mempunyai dua sesi utama yang kedua-duanya telah disampaikan oleh penceramah jemputan dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM). Penceramah pertama adalah Dr. Mohd Hasfarisham bin Abdul Halim yang telah menyampaikan perkongsian mengenai survei dan pemetaan. Menurut beliau “survei adalah sebuah kajian yang bersifat sistematik dan terancang”. Tambah beliau lagi, “sebab utama proses survei perlu dijalankan adalah kerana untuk menentukan tapak yang berpotensi agar kajian lanjutan dapat dijalankan selain berupaya untuk membuat interpretasi serta dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos”. Setelah melakukan proses survei, para arkeologi seterusnya akan melaksanakan proses pemetaan. Pemetaan adalah aktiviti merekodkan sesuatu dalam bentuk data yang mempunyai arah medan magnet bumi, garis bujur(longitud), garis lintang (latitud), carta petunjuk dan skala. Contoh peta dalam arkeologi ialah peta lokasi tapak kajian, peta petak eskavasi, peta paleoalam, peta anomali magnet kawasan dan lain-lain.
Beralih ke sesi kedua program adalah perkongsian daripada penceramah kedua iaitu Dr. Naizatul Akma binti Mohd Mokhtar dengan tajuk “Eskavasi dan Analisis”. Antara intipati sesi kedua ini adalah mengenai proses eskavasi yang merupakan cara asas ahli arkeologi mendapatkan data dan bukti tentang zaman prasejarah. Proses eskavasi memerlukan perancangan, perekodan dan pemerhatian yang tepat dan teliti. Terdapat beberapa proses dalam memulakan eskavasi. Proses pertama adalah untuk mendapatkan titik datum yang merupakan penanda stesen dasar, di mana bertujuan sebagai titik rujukan data ketinggian semasa membuat petak, pengukuran kedalaman artifak dan menentukan ketinggian kawasan eskavasi dari aras laut.
Bicara@Muzium ini bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir sekitar jam 1.00 tengahari dengan sesi soal jawab bersama para peserta sama ada melalui pertanyaan terus melalui audio atau melalui ruangan chatbox. Pelbagai manfaat dan ilmu asas arkeologi telah dikongsi dengan membincangkan tentang aktiviti kerjalapangan yang dilakukan oleh arkeologi seperti survei, pemetaan dan eskavasi. Kesemua aktiviti ini adalah sangat penting dalam mendapatkan data asas arkeologi dan dilakukan dengan kaedah saintifik.
Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM), melalui pengarahnya Dr. Kasri Saidon berserta pasukannya amat menghargai segala perkongsian ilmu yang bermanfaat ini untuk dipraktikkan di Muzium ini agar lebih banyak artifak-artifak berharga dapat ditemui lalu dijadikan koleksi di Muzium Pengurusan UUM serta dapat dipamerkan di khalayak umum sebagai salah satu kaedah penyampaian khazanah negara ke pengetahuan masyarakat setempat.
Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias