17 Julai 2019 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan Pertandingan Memanah Piala Ketua Pustakawan yang bertempat di lapang sasar memanah Pusat Sukan, Universiti Utara Malaysia (UUM) anjuran Bahagian Pentadbiran PSB.
Pertandingan ini adalah melibatkan semua kakitangan PSB dan ianya adalah merupakan aktiviti sukan yang julung kali diadakan bertujuan untuk mengeratkan tali silaturrahim sesama warga PSB di samping untuk menggalakkan semua warga untuk kekal cergas dengan bersukan.
Sekalung tahniah diucapkan kepada kumpulan Durian Mas Selangor yang telah berjaya dinobat sebagai juara pertandingan ini. Juara pertandingan telah berjaya membawa pulang piala pusingan Ketua Pustakawan bersama-sama pingat pertandingan. Naib juara pula jatuh kepada kumpulan Durian Udang Merah, manakala tempat ketiga dan keempat adalah kumpulan Durian Merah dan Durian Duri Hitam, masing-masing telah berjaya membawa pulang pingat sebagai tanda kenang-kenangan. Pada pertandingan ini, semua staf telah dibahagikan kepada sebelas kumpulan dan masing-masing telah berentap sebanyak 2 pusingan dengan setiap ahli pasukan diberi peluang sebanyak 6 kali panahan. Kiraan mata adalah berdasarkan jumlah panahan tertinggi 6 ahli pasukan di dalam setiap kumpulan. Pertandingan ini telah dibantu selia oleh Encik Mohamad Hafizi Hashim daripada Jabatan Pembangunan Penyenggaraan dan ahli persatuan memanah UUM.
Antara sebab utama sukan memanah dipilih adalah kerana ianya dapat memberi manfaat dari sudut fizikal kerana setiap tarikan panahan mampu melancarkan pengaliran darah di dalam badan dan akan memberi kekuatan kepada sistem dalam tubuh badan terutamanya jantung. Selain itu, menurut Encik Razak Siamin selaku wakil Ketua Pustakawan, program ini adalah amat baik sekali kerana dapat mengumpulkan dan melibatkan semua kakitangan PSB di samping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim. Sewaktu pertandingan berlangsung, sarapan pagi adalah berkonsepkan ‘pot luck’ di mana semua kakitangan membawa pelbagai juadah untuk dimakan bersama-sama.
Aktiviti sebegini juga, dapat memberi pendedahan kepada staf mengenai persekitaran kampus selain turut mendidik warga PSB untuk membina jati diri, kemahiran kerja berpasukan, keyakinan diri dan pelbagai lagi kemahiran yang mampu memberi nilai positif keepada setiap staf. Penganjuran aktiviti riadah sebegini juga, dapat meningkatkan tahap fokus minda dan membantu dalam menghadapi situasi yang bertekanan tinggi dan permasalahan kehidupan seharian tidak kira ketika di tempat kerja atau di rumah.
Selain itu, di samping bekerja kita juga dapat mengetahui bahwa sukan memanah juga adalah sukan yang digemari oleh baginda Rasulullah S.A.W. Ianya adalah amat baik untuk dijadikan sebagai aktiviti riadah. Menyingkap sejarah perkembangan dunia Islam, memanah juga adalah antara senjata utama yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat apabila menghadapi musuh-musuh Islam.
Pertandingan ini telah berakhir sekitar jam 1.00 tengahari dengan jelas terpancar rasa kegembiraan dan kepuasan di riak wajah semua warga PSB apabila dapat melibatkan diri dan dalam pertandingan ini.
Disediakan oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim
Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail