“Kita masih belum bersedia sepenuhnya untuk bekerja daripada rumah dan perlukan masa untuk perubahan selain akan terus berusaha untuk kehidupan yang lebih sihat” itu kata-kata penutup oleh En. Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku ahli panel dalam mengakhiri program Sembang Santai Siri ke-6 bertajuk “Adaptasi Normal Baharu Dalam Perkhidmatan Perpustakaan dan Pustakawan Dari Perspektif Teknologi dan Maklumat”
Program ini bersiaran secara langsung di Facebook Live “Librarian Ideas” dan “Sembang Pustakawan”. Ianya adalah anjuran “Librarian Ideas” iaitu sebuah kumpulan komuniti sosial di kalangan pustakawan seluruh Malaysia yang telah berlangsung pada 30 April 2020 yang lalu bermula jam 10.00 pagi. Turut diundang bersama adalah 2 orang ahli panel dari Open University Malaysia (OUM) iaitu Ketua Pustakawan, En. Suhaimi Jamaluddin, dan juga En. Muizzudin Kaspol, Timbalan Ketua Pustakawan mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM). Sembang santai ini telah dipengerusikan oleh En. Amirul Firdaus Zilah, Pustakawan Kanan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selaku moderator program.
Di awal program, ahli-ahli panel turut berkongsi pengalaman universiti dan diri masing-masing apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan. Universiti masing-masing telah mengambil langkah awal dengan memastikan hebahan dan komunikasi yang jelas dan menyeluruh kepada semua warganya di samping melaksanakan langkah-langkah keselamatan sebelum universiti ditutup sepanjang tempoh PKP. Menurut ahli panel, pada awalnya masing-masing berasa sedikit jangkal untuk memulakan pekerjaan dari rumah. Namun, apabila masuk PKP Fasa Ke-2 dan seterusnya, situasi tersebut dapat dikawal dengan baik oleh mereka. Segala servis, perkhidmatan dan komunikasi bersama pelanggan turut disampaikan secara atas talian dengan menyeluruh.
Antara topik lain yang dibincangkan adalah mengenai penerimaan dan kepakaran staf dalam menghadapi normal baharu untuk bekerja daripada rumah, perancangan untuk memperbanyakkan bahan berbentuk e-learning dan juga bagaimanakah cara dan platform terbaik untuk meningkatkan penggunaan bahan perpustakaan. Soalan daripada penonton juga turut dibahaskan antaranya adalah persoalan mengenai kepentingan menyediakan pelan pengurusan risiko dan juga keperluan mewujudkan ‘Special Interest Group’ (SIG), khas bagi menguruskan perkara-perkara sebegini di masa akan datang. Antara lain persoalan yang diutarakan adalah mengenai kerjasama antara Perpustakaan Desa seluruh Malaysia bagi membolehkan pengguna perpustakaan khususnya di kalangan pelajar dapat terus berhubung dengan pusat pengajian masing-masing. Amat menarik sekali persoalan-persoalan yang diajukan sepanjang program berlangsung dan ianya dibahaskan dengan amat jelas dan relevan sekali oleh semua ahli panel jemputan.
Disiarkan secara langsung di platform Facebook, Sembang Santai initelah mendapat sambutan yang amat menggalakkan sekali dengan jumlah tontonan adalah sebanyak 300 tontonan. Pelbagai komen positif dan juga emoticon turut ditinggalkan di ruangan komen. Ternyata program sebegini amat bermanfaat dengan pelbagai input-input positif dapat diraih oleh penonton di seluruh negara mengenai bidang kepustakawanan.
Program ini berakhir sekitar jam 12.00 tengahari dan semoga servis dan perkhidmatan kepada pengguna dapat dilaksanakan dengan lebih baik lagi di kehidupan normal baharu pasca PKP nanti.
Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias