MUAFAKAT WARGA PSB KACAU BUBUR ASYURA

18 September 2019 – Badan Amal dan Kebajikan Kakitangan (BAKAL), Perpustakaan  Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan satu aktiviti mengacau bubur asyura.

Aktiviti ini bermula seawal jam 8.00 pagi dan bertempat di ruangan memasak Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM). Dari segi sejarah, tanggal 10 Muharram adalah merupakan Hari Asyura dan antara tradisi orang Melayu turun temurun apabila tiba tarikh ini adalah memasak bubur Asyura. Bubur Asyura ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan. Ada yang mengatakan, campuran ramuan hendaklah terdiri daripada 10 jenis bahan makanan, jangan berkurangan dan jangan berlebihan. Walaubagaimanapun, resepinya adalah berbeza mengikut negeri masing-masing.

Semasa aktiviti ini berlangsung, En. Salleh Hudin Mustafa selaku Ketua Pustakawan juga turut hadir bersama-sama sambil beramah mesra dengan sukarelawan yang ada. Turut serta bersama Pengerusi BAKAL iaitu En. Ku Rosyidi Ku Md Razi dan Ahli Jawatankuasa BAKAL yang lain sambil dibantu oleh sukarelawan-sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai bahagian di PSB.

Kesemuanya bersatu hati menggembleng tenaga  menyiapkan hidangan bubur asyura ini buat semua warga PSB. Selain itu juga, aktiviti kali ini lebih bermakna kerana ianya adalah hasil daripada sumbangan warga PSB bagi menampung kos penyediaan bubur tersebut. Semoga ianya dapat diteruskan lagi agar ikatan persaudaraan dapat dibentuk dengan lebih harmoni pada masa hadapan.

 

Disediakan oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail