Satu Bengkel Pemantapan Pengurusan Risiko Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah diadakan pada 23 Mei 2018 yang lalu bertempat di Makmal 2, Bangunan Tambahan PSB. Bengkel ini bermula pada jam 9.00 pagi dan ianya merupakan anjuran Jawatankuasa Pengurusan Kualiti PSB.
Bengkel ini dimulai dengan taklimat pengenalan oleh Pengarah Unit Pengurusan Risiko Universiti, En. Shahrul Nizam Ahmad selaku penceramah jemputan. Pada sesi taklimat ini, beliau berkongsi maklumat mengenai MS ISO 31000 Risk Management – Principles and Guidelines on Implementation. Berhubung perkara ini, beliau menyentuh mengenai framework dan jenis-jenis risiko seperti operational risk, financial risk dan beberapa lagi. Menurut beliau, amat penting untuk Jabatan mengetahui jenis risiko yang ada bagi mengawal keadaan dari menjadi lebih serius. Dengan itu, beliau turut menyediakan template yang dikenali sebagai Operational Risk Register untuk diisi oleh PSB bagi mempermudahkan pengurusan risiko dan risk identification.
Setelah diberi penjelasan dan tunjuk ajar oleh penceramah, bengkel diteruskan dengan sesi brainstorming untuk mengenali jenis-jenis risiko yang ada di PSB. Dengan diketuai oleh En. Razak Siamin selaku Pegawai Risiko UUM, semua peserta telah memberi pandangan dan justifikasi bagi setiap permasalahan yang berlaku di bahagian masing-masing. Turut sama di dalam bengkel ini adalah En. Muhamad Mazlan Jalla, Timbalan Ketua Pustakawan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kualiti, PSB dan semua Pustakawan PSB.
Untuk sentiasa berada di dalam keadaan bersedia, sememangnya bengkel ini amat bermanfaat kerana ianya mampu menghindarkan PSB dari terjerumus ke dalam permasalahan yang lebih besar jika tidak dapat mengesan sesuatu risiko dengan lebih awal. Bengkel ini telah berakhir pada jam 4.30 petang.
Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias