PEMBENTANGAN PROJEK INDIVIDU PELAJAR PRAKTIKUM AKHIRI TEMPOH LATIHAN BERSAMA PSB​

PSB Online – Pada 25 Julai 2021 yang lalu telah diadakan Sesi Pembentangan Laporan Akhir Individu Pelajar Latihan Industri (intake Mac 2021) yang telah disempurnakan menerusi platform Cisco Webex.

Sesi yang bermula pada jam 2.00 petang ini adalah anjuran Unit Latihan dan KualitiPerpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Antara peserta yang terlibat mengikuti sesi pembentangan ini adalah terdiri daripada Ketua Pustakawan iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa, Timbalan Ketua Pustakawan iaitu En. Razak Siaminserta semua Ketua Bahagian dan Ketua Unit, PSB. 

Projek bertajuk “PSB Online Statistics Database System” telah dibentangkan oleh Cik Syaidatul Aziewa Mohd Ab Ghani, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pemutusan, UUM. Antara objektif utama pembangunan sistem ini adalah untuk pengumpulan, penyimpanan, pemeliharaan dan perkongsian data menggunakan Microsoft Access selain untuk memudahkan serta menjimatkan masa mengakses data statistik melalui sistem atas talian berbanding secara manual sebelum ini. Fasilitator dalam membantu pelajar ini membangunkan sistem tersebut adalahPn. Wan Hanis Kamarruddin, Ketua Unit Scholarly Information Services (SIS), dari Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah (BPKMI). ​

Pembentangan kedua pula adalah oleh Cik Puteri Qistina Radzinpelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi, UUM dengan tajuk “Return on Investment (ROI) on Knowledge Resources”. Projek beliau adalah berkenaan pengukuran prestasi yang digunakan untuk menilai kecekapan pelaburan atau membandingkan kecekapan beberapa pelaburan seperti kajian beliau di Bahagian Sumber Ilmu. Projek ini adalah pengiraan keuntungan yang diperolehi oleh PSB dalam pelaburannya membelanjakan sejumlah wang untuk pembelian buku serta pulangan keuntungan yang dikira melalui jumlah penggunaan buku-buku tersebut oleh pengguna PSB. Kaedah yang ditunjukkan melalui projek ini adalah amat bermanfaat ke atas PSB untuk mengetahui kecemerlangan PSB dalam mengurus perbelanjaannya. Fasilitator projek ini adalah PnNorihan Anah, Ketua Unit Pembangunan Sumber Ilmu, Bahagian Sumber Ilmu.

Usai sesi pembentangan adalah sesi soal jawab beserta komen daripada semua pegawai yang terlibat terhadap projek-projek yang terlibat. Selain itu, sebelum sesi ditamatkan, Ketua Pustakawan turut mengucapkan ribuan terima kasih dan meminta mereka berdua untuk melahirkan sedikit ucapan mengenai pengalaman sepanjang menjalankan latihan praktikum di PSB.Berakhirnya sesi ini maka berakhirlah tempoh latihan industri mereka bersama-sama PSB. Di kesempatan ini, PSB ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas jasa dan sumbangan mereka dan selamat maju jaya. Sesi ini tamat sekitar jam 4.00 petang.

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias