PSB HADAPI TEMUDUGA AUDIT KUALITI DALAMAN UUM 2021 NORMA BAHARU

PSB Online – Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), istilah norma baharu bermaksud “Peraturan baharu yang diterima atau diguna pakai oleh masyarakat disebabkan berlakunya sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit”. Terkesan dengan fenomena yang melanda negara, Universiti Utara Malaysia (UUM) mengubah hampir keseluruhan operasinya dengan mengadaptasi kehidupan norma baharu.

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima kunjungan delegasi Audit Kualiti Dalaman UUM 2021 secara maya bermula 22 hingga 30 Ogos 2021. Sesi temuduga telah diadakan pada 26 Ogos 2021, yang telah diadakan secara atas talian menerusi aplikasi Cisco Webex. Seramai 15 orang staf dari PSB telah tersenarai sebagai auditee pada kali ini. Manakala pasukan juruaudit pula adalah seramai 4 orang yang telah diketuai oleh Dr. Mohamad Faizal Ahmad Zaidi dengan dibantu oleh Prof. Madya Dr. Maria Abdul Rahman, Prof. Madya Dr. Mazni Omar, Pn. Yati Arikah Mohd Yusoff dan Dr. Nur Khairiel Anuar.

Sesi temuduga secara norma baharu ini bermula pada jam 10.00 pagi dengan kata alu-aluan oleh Ketua Auditor dan juga oleh wakil PSB iaitu En. Razak Siamin selaku Timbalan Ketua Pustakawan. Menurut En. Razak, peranan PSB adalah untuk menyokong proses pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan universiti dan keseluruhan servis dan perkhidmatan PSB adalah berkisar ke arah peranan tersebut. Selain daripada itu, PSB juga berusaha untuk memenuhi semua kehendak pengguna yang sering berubah-ubah mengikut keperluan semasa.

Antara persoalan yang diajukan ketika sesi temuduga tersebut adalah mengenai tindakan atau reaksi PSB dalam membendung masalah pengurangan jumlah peminjaman buku oleh pengguna. Respon yang baik juga telah diberikan oleh En. Razak yang menyatakan bahawa “PSB sememangnya sedar akan pengurangan jumlah tersebut dan oleh yang demikian pengurusan telah memasukkan inisiatif kepada permasalah tersebut ke dalam Pelan Strategik PSB dalam langkah memperbanyakkan sumber bahan digital seperti e-books dan juga pangkalan data secara atas talian dan PSB juga akan melaksanakannya dari semasa ke semasa”.

Selain itu, sesi temuduga yang berlangsung selama 2 jam 30 minit ini menyaksikan pelbagai soalan-soalan telah diajukan oleh barisan auditor dan juga telah berjaya dijawab dengan baik oleh para auditee. Antara persoalan lain yang diajukan adalah mengenai bahan rujukan kursus secara fizikal dan atas talian, langganan jurnal terkini, Turnitin, perolehan bahan dari pensyarah Pusat Pengajian, bengkel dan kursus, daftar risiko, pengurusan aduan pengguna, perancangan strategik dan juga lain-lain hal termasuk tindakan kepada Opportunity For Improvement (OFI).

Sesi temuduga ini berakhir pada jam 12.30 tengahari dan mesyuarat penutup pula akan diadakan pada 30 Ogos 2021 nanti dengan pengumuman keputusan audit. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua auditee yang terlibat dalam menjayakan proses temuduga Audit Kualiti Dalaman UUM 2021 secara norma baharu ini.

 

Disediakan dan gambar oleh : Noraini Alias