Ogos 2019 – Bakal menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang ke-62 pada tanggal 31 Ogos nanti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menyemarakkan ruang legar dengan semangat kemerdekaan.
Saban tahun sudah menjadi tanggungjawab dalam memastikan kemeriahan sambutan kemerdekaan di PSB, En. Norhardi Saad, Pustakawan dari Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca berkata, “setiap tahun aktiviti menggantung dan mengibarkan Jalur Gemilang diadakan dengan meriahnya simbolik memperingati kemerdekaan negara yang telah dikecapi pada tanggal 31 Ogos 1957 yang lalu”. Oleh yang demikian, apabila tibanya bulan Ogos juga dikenali sebagai Bulan Kemerdekaan, pihak PSB turut mengambil peluang dengan memperbanyakkan kibaran Jalur Gemilang serta aktiviti-aktiviti kemerdekaan yang menarik bakal diadakan.
Selain itu, satu pameran kemerdekaan juga turut diadakan di sepanjang laluan ke Bangunan Tambahan, PSB. Pameran yang bertajuk “Independence Warrior” ini memaparkan tokoh-tokoh kemerdekaan yang lantang berjuang menentang penjajah demi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Antara tokoh yang diketengahkan adalah Mat Kilau, Rosli Dobi, Tunku Abdul Rahman, Dol Said, Libau Anak Ningkan dan lain-lain. Pameran ini adalah bertujuan untuk memperingati perjuangan mereka di samping untuk menyampaikan mesej-mesej penting dalam usaha menuntut kemerdekaan kepada semua warga UUM khasnya kepada golongan anak muda masa kini.
Sambutan kemerdekaan pada tahun ini juga turut dimeriahkan dengan penganjuran Pertandingan Dekorasi Makanan Era Sebelum Merdeka juga anjuran Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca. Pertandingan ini adalah julung kali diadakan dan konsep yang dibawakan amat menggamit memori dengan mengetengahkan makanan ruji masyarakat Melayu pada zaman sebelum merdeka. Bagi menaikkan lagi semangat kemerdekaan, satu replika kereta kebal telah dibangunkan dan dipamerkan di laluan awam untuk tontonan semua warga PSB.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di PSB sepanjang bulan ini adalah merupakan sebahagian daripada semangat kemerdekaan generasi pasca merdeka agar dapat diterjemahkan sebagai tanda kecintaan kepada negara Malaysia. Walau tidak mampu menghunus senjata, namun semangat perwira-perwira negara yang telah gugur mampu mencorak generasi yang amat sayangkan bumi tercinta ini. Semoga Malaysia sentiasa dirahmati Allah.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Bahagian Koleksi Khas dan Media & Noraini Alias