PSB Online – “Terima kasih sudi datang ke Bustana Kucing, yang saya asaskan sendiri sejak tahun 2015.” Itu antara ucapan awal Encik Mohamad Taufiq Md Zin, pengurus rumah perlindungan kucing jalanan dan terbiar kepada para peserta Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) di Bustana Kucing yang telah diadakan pada hari Selasa, 18 Julai 2023 bertempat di dalam kawasan Taman Ular & Reptilia Batu Pahat, Perlis.
Program tersebut yang melibatkan kehadiran seramai 14 orang staf dan pegawai dari Bahagian Khidmat Pengurusan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah UUM adalah bertujuan untuk memenuhi hasrat pihak pengurusan tertinggi Universiti Utara Malaysia dalam membina hubungan yang lebih kukuh dan berimpak dengan pihak industri serta komuniti sekaligus mendokong salah satu pelan strategiknya di bawah Teras 3 iaitu Pencapaian Penglibatan Komuniti Dan Industri Yang Mampan.
Peserta Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) di Bustana Kucing telah dibawa untuk melawat kandang sakit yang menempatkan kucing-kucing buta, sakit sporo dan parvo, wad Unit Rawatan Rapi (ICU) serta ruang ibu kucing bersama anak. Program diteruskan dengan para peserta dibahagikan kepada tiga (3) kumpulan melibatkan tugasan pembersihan longkang utama di tepi kandang kucing, pemberian ubat cacing kepada kucing-kucing yang sihat serta kerja pencucian lantai dan penyingkiran lumut di dalam kandang utama.
Usai tugasan, pengurus rumah perlindungan kucing itu turut meluangkan masa berkongsi ilmu pengetahuan tentang penyakit dan rawatan kucing termasuk bahaya penyakit parvo kepada haiwan berkenaan yang diibaratkan seperti ancaman virus HIV dan penyakit AIDS kepada manusia. Bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kementerian Kesihatan dalam mengkaji ubat rawatan penyakit kucing, Bustana Kucing juga merupakan satu-satunya pusat perlindungan kucing yang diberi lesen beroperasi oleh Jabatan Veterinar Negeri Perlis.
Beliau berkongsi rasa keadaan Bustana Kucing yang kini menempatkan sebanyak 1800 ekor kucing di kandang utama dan 600 ekor kucing di kandang sakit sangat memerlukan sokongan para sukarelawan dalam membantu kerja-kerja pembersihan, rawatan dan penyenggaran fasiliti sekaligus meringankan beban kerja oleh 30 orang staf tetap di bawah seliaan Encik Taufik. Selain itu, sumbangan dana oleh orang ramai seringkali dituntut bagi menampung kos operasi yang mencecah sehingga RM70,000.00 sebulan melibatkan penyediaan makanan dan ubat-ubatan kucing serta bayaran emolumen para pekerja.
Justeru, orang ramai dan para pencinta kucing yang berhasrat untuk menyumbang dalam meringankan kos operasi Bustana Kucing boleh menyalurkan dana melalui no. akaun 5627 6842 3110 (Maybank) atas nama Bustana Kucing atau boleh berhubung terus dengan Encik Taufik di talian 0134300443.
Melabuhkan tirai program pada tengahari tersebut, Encik Taufik sekali lagi merakamkan penghargaan atas kesudian Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM menjalankan kerja-kerja sukarela di Bustana Kucing dan mengharapkan kesinambungan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang. Bantuan dan sokongan masyarakat amatlah ditagih demi memastikan rumah perlindungan kucing yang beroperasi dengan dana sendiri ini terus dapat bertahan.
Disediakan oleh: Ku Rosyidi Ku Md Razi
Gambar oleh: Urusetia Program