PSB SEMARAKKAN RAMADAN DENGAN PENGANJURAN TAZKIRAH SECARA ONLINE

PSB Online  –  Untuk mengimarahkan lagi kedatangan bulan Ramadan pada tahun 1443 ini, Badan Kebajikan dan Amal (BAKAL) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjur satu tazkirah Ramadan secara atas talian dengan tajuk “ Dambaan Kami Ar-Rayyan” pada 13 April 2022.

Tazkirah ini telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Mohd Firdaus Ahmat, Penolong Pegawai Tadbir dari Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM). Sementara Moderator untuk sesi kali ini digalas oleh Encik Mohd Amerul Shafiz Bin Hasbullah, Pembantu Tadbir, Unit Perundingan Maklumat PSB. Ustaz Firdaus telah mengendalikan tazkirah ini dari pejabatnya di Bangunan Kompleks Pusat Islam UUM dan sesi perkongsian ilmu ini telah dihadiri seramai 297 penonton menerusi aplikasi Webex.

Antara intisari tazkirah tersebut, Ustaz Firdaus menyampaikan bahawa puasa merupakan satu proses pendidikan taqwa yang disediakan Allah SWT kepada hambaNya. Menurutnya, untuk menuju ke syurga Allah, setiap hambaNya perlu meneliti akan tingkatan ketaqwaan diri masing-masing serta perlu istiqamah dalam beribadah memanjat tangga-tangga menuju syurga. Menurutnya lagi, syurga mempunyai banyak pintu dan Arrayan adalah salah satu pintu khas syurga yang Allah sediakan khusus untuk orang beriman yang berpuasa ikhlas kerana Allah. Dalam bulan Ramadan  ini, Ustaz juga berpesan agar kita semua bersunguh-sungguh  memelihara ibadah puasa masing-masing supaya puasa tidak rosak terutama  kerana tidak memelihara lidah dan lisan kita. Tambahnya lagi, kepada  kaum hawa yang kedatangan haid ketika Ramadan, mereka masih boleh meraih pahala yang banyak dengan membantu  orang yang berpuasa seperti menyediakan juadah untuk bersahur dan  juga juadah untuk berbuka puasa.  Selain itu, Ustaz juga mengingatkan untuk melipat gandakan amalan berinfak dan bersedekah mengikut kemampuan diri. Amalan menyediakan juadah untuk berbuka puasa kepada jiran tetangga, rakan sekerja ataupun penduduk kariah masing-masing adalah sebaik-baik sedekah di bulan yang mulia ini.

Tazkirah yang menarik dan penuh dengan ilmu ini bermula pada pukul 10.00 pagi dan telah berakhir pada pukul 11.20 pagi. Sebagai tanda kenang-kenangan kesudian ustaz meluangkan masa mengisi undangan majlis ilmu di PSB ini, Pengerusi BAKAL, Encik Hisomuddin Bin Abdullah telah mengunjungi dan menyampaikan cenderamata penghargaan dari PSB kepada ustaz di Bangunan Kompleks  Pusat Islam.

Ayuh kita berlumba-lumba laksanakan ibadah puasa dengah sungguh-sungguh seperti yang disaran ustaz. Semoga kita menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga Allah melalui pintu Arrayan.

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Azniza Binti Ahmad & Noraini Alias