PSB TERIMA LATIHAN UNTUK INISIATIF PROJEK “UUM OPEN LEARNING LIBRARY”

PSB Online – Berperanan dalam menyokong proses pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) terus mengorak langkah ke hadapan dalam memberi perkhidmatan dan servis terbaik demi melahirkan graduan yang cemerlang kebanggaan universiti.

Memainkan peranan tersebut, PSB kini berusaha memberi kemudahan terbaharu buat semua pengguna dengan kewujudan satu platform “UUM Open Learning Library” secara atas talian yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Oleh yang demikian satu bengkel khas telah diadakan pada 25 Ogos 2021 yang lalu. Bengkel ini melibatkan 3 orang pegawai dari UUMIT sebagai fasilitator dan juga semua Pustakawan PSB.

“UUM Open Learning System” adalah sebuah sistem yang telah dibangunkan oleh pasukan UUMIT dan ianya adalah mengikut permintaan dan juga persetujuan bersama dengan pihak PSB melalui beberapa siri perbincangan sebelum ini. Sistem ini adalah satu platform baharu yang akan menyediakan akses kepada pelbagai bahan sokongan mengikut ‘scheme of work’ proses pembelajaran dan pengajaran pelajar. Dokumen-dokumen sokongan yang berbentuk ‘e-books, jurnal artikel dan juga pautan video Youtube yang bersesuaian dan relevan akan disediakan oleh semua Pustakawan terlibat mengikut Pusat Pengajian yang telah diberi.

Fasilitator bengkel ini diketuai oleh Pn. Nor Asiah bt. Abd Rahman dengan dibantu oleh 2 orang rakan beliau iaitu En. Mahamad Nabawi b. Mohammad Saad dan En. Ahmad Ruzaini b. Janudin. Bengkel yang bermula pada jam 9.30 pagi ini telah berakhir pada jam 12.30 tengahari dan antara intipati bengkel adalah semua Pustakawan telah ditunjukkan secara ‘hands on’ tatacara memuatnaik bahan sokongan ke dalam platform UUM Open Learning Library. Antara orang penting yang menjayakan inisiatif ini adalah Ketua Pustakawan sendiri iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa dengan dibantu oleh Ketua Bahagian Sistem Maklumat, En. Norhardi Saad. Semasa bengkel, penyertaan yang aktif oleh semua Pustakawan yang terlibat juga terlihat menggalakkan dengan pelbagai soalan yang diajukan dan fasilitator juga telah berjaya memberi penerangan yang baik terhadap semua persoalan.

Semoga inisiatif ini mampu memberi manfaat kepada semua pelajar apabila ianya dilancarkan kelak.

 

Disediakan dan gambar oleh : Noraini Alias