ZIARAH KASIH : STAF PSB DEKATI DAN SANTUNI GOLONGAN ASNAF

PSB Online –   Sedarkah kita, bermanfaat kepada orang lain dengan menyenangkan dan menggembirakan hati  mereka merupakan antara amalan yang paling disukai Allah. Ada pelbagai cara untuk  kita menghulur sumbangan membantu masyarakat  yang terhimpit dengan masalah ekonomi dan kesihatan di sekitar kita  terutamanya  di waktu sulit pandemik wabak COVID-19 ini. Salah satu dari caranya adalah penglibatan yang aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menjurus membantu golongan asnaf miskin.

Bertempat di Kampung Teluk Nibong, Jitra pada 21 November 2020 baru-baru ini, Encik Ishar Md Zain, Pembantu Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan isterinya Puan Noraishah Hamid @Abdullah telah menghulurkan sumbangan bakti menyantuni golongan asnaf miskin melalui NGO yang berdaftar  dengan nama JEBAT (Jelajah Bantuan Amal dan Transformasi).

Menurut Encik Ishar “saya dan isteri menyertai JEBAT pada tahun 2018. Melalui Program Ziarah Kasih, NGO ini bergerak aktif menyampaikan sumbangan dalam bentuk barang-barang keperluan dapur, wang ringgit dan pakaian terpakai kepada golongan  yang susah dan memerlukan. Pada hari Sabtu setiap bulan, kami akan turun padang menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf yang terpilih. Selalunya  sasaran kami adalah golongan miskin yang sedang menderita sakit kronik dan tiada berpendapatan seperti warga emas,  ibu tunggal, saudara baru dan mangsa bencana. Ada ketikanya juga, kami membiayai  golongan pelajar miskin yang berjaya menyambung pelajaran ke universiti  awam tetapi tidak berkemampuan untuk membayar yuran pendaftaran”. Tambah beliau lagi, semua butiran kesusahan dan penderitaan hidup mereka selalunya disampaikan kepada NGO kami oleh Pertubuhan Organisasi Kampung  iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pada hari ini,  Alhamdulillah, kami telah berjaya membantu seramai  6 keluarga miskin  di kampung ini.”

Ketika ditanya mengenai dana yang mereka perolehi untuk menjayakan aktiviti berkenaan, Encik Ishar menyatakan semuanya adalah hasil dari kutipan wang ahli NGO itu sendiri di samping  inisiatif mereka memohon sumbangan  daripada tokoh-tokoh perniagaan  tempatan yang sudi menghulurkan bantuan. Selain daripada menghulurkan bantuan kelangsungan hidup, mereka juga turut melakukan aktiviti gotong-royong membaik pulih rumah asnaf   yang  rosak  dan terlalu uzur  untuk didiami  agar  penghuni rumah berkenaan  dapat meneruskan hidup dengan lebih selesa. Menurut Encik Ishar lagi, ”selain dari kami suami-isteri yang bergerak aktif menolong mereka yang memerlukan, kadang kadang anak-anak saya juga turut mengikuti kami dengan meluangkan masa mendekatkan diri dengan golongan asnaf miskin ini dan melakukan kerja amal untuk membela nasib dan menjaga kebajikan mereka”.

Jika rutin harian pada siangnya bekerja di PSB, pada sebelah malamnya pula, Encik Ishar meluangkan masa mengajar anak-anak jirannya di Kampung Padang Panjang, Jitra membaca Al-Quran. “Saya  akan memastikan mereka datang ke rumah saya sebelum masuk waktu maghrib, seterusnya kami akan solat maghrib berjemaah bersama-sama dan selepas itu baru saya akan mengajar mereka membaca Al-Qur’an”. Menurutnya lagi, beliau berbuat demikian adalah secara ikhlas hati dan tanpa bayaran. Kelas mengaji tersebut selalunya diadakan pada setiap malam tanpa cuti kecuali sekiranya beliau mempunyai hal yang tidak dapat dielakkan. Begitulah antara bibit-bibit kehidupan keluarga Encik Ishar Md Zain yang prihatin dengan keadaan di sekitar beliau.

Semoga Encik Ishar sekeluarga istiqamah dalam menjalankan kerja-kerja amal menyantuni asnaf miskin  dalam komuniti sekitar. Sesungguhnya, tangan yang memberi itu adalah lebih baik dari yang menerima. Islam adalah agama yang memberi. Dengan memberi, kita akan merasa lebih tenang, rezeki akan menjadi lebih lapang dan hati kita akan lebih gembira tatkala melihat orang yang menerima pemberian dari kita mengukir senyuman kesyukuran, mengucapkan terima kasih dan mendoakan kesejahteraan kita dunia  dan akhirat.

Rasulullah juga pernah berpesan, jangan takut untuk berkongsi, kerana dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Semoga segala usaha dan keprihatinan Encik Ishar dan keluarga dapat menjadi contoh yang terbaik untuk semua.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Ishar Md. Zain