KURSUS ASAS PENYENGGARAAN KOMPUTER SIRI 2

PSB Online – Di alam pekerjaan yang berteknologi kini, sememangnya memerlukan pengetahuan asas  mengenai aspek penyengaraan komputer. Ianya amat penting demi memastikan semua komponen dan peralatan  dijaga dan dapat berfungsi  dengan baik supaya proses kerja di pejabat dapat berjalan dengan lancar. Rentetan daripada itu, Unit Latihan dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) komited dalam menganjurkan Kursus Asas Penyenggaraan Komputer Siri 2 pada 27 Oktober 2020 yang lalu bertujuan untuk memberi pendedahan kemahiran ini.

Seperti Kursus Siri 1 yang dianjurkan pada  30 Jun 2020  terdahulu, kursus kali ini juga telah dikendalikan oleh Encik Shazwan Nabil Shukor, Pegawai Teknologi Maklumat dengan dibantu oleh Encik Mohd Farizan Mihat, Juruteknik Komputer dari Bahagian Sistem Maklumat PSB. Seramai 9 orang peserta yang kesemuanya adalah lelaki dari pelbagai Bahagian di PSB telah hadir menjayakan kursus ini. Kaedah penyampaian yang digunakan  sepanjang  kursus ini adalah  secara  teori pada sesi  pagi dan amali pada sesi petang.

Topik yang disampaikan oleh Encik Shazwan meliputi pengenalan kepada komponen asas komputer dan komponen pada papan induk (Mother Board) seperti  CPU (Central Processing Unit), Processor dan jenis jenis Processor,  Memori (RAM dan ROM), Power Supply, Disk Storage , Display Card , Disk Drive, USB Port  dan juga beberapa perkara lagi  tentang  jenis dan fungsi komponen-komponen komputer.

Selain itu, para perserta juga diberi pendedahan tentang cara-cara membuka dan memasang semula komponen perkakasan komputer. Peserta kursus juga dapat mengenalpasti jenis-jenis kerosakan pada komputer dan melakukan pembaikan serta dapat mengetahui keperluan meningkatkan keupayaan sistem komputer.

Kursus yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini berakhir pada pukul 4.30 petang. Kursus pendek ini tidak bertujuan menjadikan peserta seorang yang pakar tetapi sekadar pendedahan mengenai masalah-masalah biasa dihadapi oleh sesebuah komputer.  Semoga semua peserta kursus sedikit sebanyak mendapat manfaat dalam mengendalikan computer mereka serta berupaya menyelesaikan masalah-masalah kecil teknikal berkaitan komputer di pejabat masing-masing.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Izhar Hj. Hashim