LAWATAN PENANDA ARAS PERPUSTAKAAN SULTANAH BAHIYAH (PSB) KE PERPUSTAKAAN SULTANAH ZANARIAH (PSZ), UTM, SKUDAI, JOHOR

PSB ONLINE : Pada 25 September 2024, seramai 33 orang terdiri dari Pustakawan, Pembantu Pustakawan dan juga staf pentadbiran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), UUM telah menyertai  lawatan penanda aras di Perpustakaan Sultanah Zanariah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Lawatan ini bertujuan untuk mempelajari amalan terbaik Bahagian Automasi dan semua bahagian-bahagian lain di Perpustakaan UTM, Skudai, Johor. Peserta lawatan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut bahagian masing-masing dan dibawa melawat ke kaunter perkhidmatan dan semua paras yang mengandungi berbagai koleksi dan perkhidmatan.

Bahagian Automasi PSB memberi tumpuan kepada bagaimana perpustakaan UTM mengaplikasikan teknologi automasi dalam pengurusan perpustakaan, termasuk penggunaan sistem maklumat digital yang memudahkan operasi perpustakaan dan akses pelajar kepada sumber-sumber bahan ilmiah secara lebih cekap dan berkesan.

Perpustakaan UTM telah membangunkan sistem pengurusan maklumat yang mantap, yang bukan sahaja memudahkan pengurusan dalaman tetapi juga memberikan nilai tambah kepada pengguna. Ini termasuk pengurusan data dan keselamatan yang efektif, serta penawaran sumber-sumber digital yang pelbagai. Melalui lawatan ini, PSB dapat mempelajari pendekatan dan strategi yang digunakan oleh UTM dalam pengurusan maklumat dan aplikasi teknologi dalam tugasan mereka.

Sementara Bahagian Automasi dalam sesi perbincangan dengan Bahagian Automasi perpustakaan UTM, kumpulan-kumpulan lain dibawa melawat semua kemudahan pengguna yang disediakan oleh perpustakaan UTM. Antara yang menarik ialah galeri di perpustkaan berkenaan yang mengetengahkan artifak-artifak yang unik dan berinformatif dan dokumen bertulisan tangan menyenaraikan graduan-graduan UTM yang terdahulu. Didapati di setiap paras dan ruang di tangga dipenuhi dengan kata-kata motivasi dengan rekaan yang menarik. Ini menambahkan seri rekaan dalaman dalam perpustakaan dan meberi perangsang positif kepada para pengguna yang datang dan menggunakan perkhidtaman perpustakaan UTM.

Program lawatan penandaarasan ini memberi peluang kepada delegasi PSB untuk memahami dengan lebih mendalam amalan terbaik dalam automasi perpustakaan, terutamanya berkaitan dengan pengurusan koleksi digital dan sistem akses bahan ilmiah. Maklumat yang diperoleh melalui lawatan ini diharap dapat membantu PSB dalam meningkatkan sistem perpustakaan mereka untuk lebih efisien dan mesra pengguna. Selain itu, lawatan ini diharap dapat membantu PSB menambahbaik sistem dan semua perkhidmatan yang boleh ditawarkan oleh PSB kepada penggunanya dengan lebih menarik dan memberi impak positif kepada kualiti perkhidmatan perpustakaan.

Dengan mengadakan lawatan ke UTM, PSB dapat membuka peluang untuk menjalin kerjasama masa hadapan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan perpustakaan, yang akan menguntungkan kedua-dua institusi. Ini termasuk projek-projek kolaborasi dalam pembangunan sistem perpustakaan dan pertukaran teknologi.

Lawatan ini juga diharapkan dapat membuka peluang untuk perbincangan selanjutnya antara kedua-dua perpustakaan dengan pertukaran idea dan pengalaman masing-masing. Puan Mazyana Hashim, selaku Ketua program ini turut menjemput semua kakitanagn dan pustakawan UTM untuk berkunjung balas ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah pada masa akan datang.