PSB GEMBLENG TENAGA SIAPKAN BACKLOG TESIS

PSB Online –  Bahagian Arkib Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menggerakkan satu projek proses backlog tesis  bermula pada 18 April 2021.  Satu pasukan kerja seramai  10 orang staf PSB  telah dibentuk  untuk menyelesaikan longgokkan tesis sebanyak 855 buah yang belum diproses kerana masalah kekangan tenaga kerja. Pasukan ini diketuai oleh Pustakawan, Puan Ku Safina Binti Ku Ismail dan dibantu oleh Encik Badrulsaman Hamid, Pembantu Pustakawan selaku Fasilitator projek.

Pasukan ini selain  terdiri dari staf Unit itu sendiri iaitu Unit Repositori Institusi (Elib)  turut dibantu oleh  staf dari Unit Arkib Media  Digital  dan juga staf Unit Pembangunan Sumber Ilmu dari  Bahagian Sumber Ilmu PSB. Selaku Ketua Projek, Puan Ku Safina  meletakkan  harapan agar semua backlog tesis   itu berjaya siap diproses dalam tempoh 3 bulan.

Backlog tesis yang belum diproses ini berlaku kerana pusat-pusat pengajian UUM telah menghantar  semua  tesis  dalam simpanan mereka pada tempoh masa yang sama ke PSB. Hal ini menyebabkan Unit Repositori Institusi ( Elib)  yang bertanggungjawab memproses koleksi ini tidak dapat menangani lambakan  yang berlaku dan memerlukan  sokongan dari Unit lain untuk segera mengatasi masalah ini.

Antara tugas utama pasukan ini adalah untuk menyemak dan mengenalpasti kandungan dokumen dalam Compact Disk (CD) adalah dalam bentuk PDF dan seterusnya menyemak kandungan dalam CD adalah selari dengan kandungan dalam ringcopy atau looseleaf. Jika hasil semakan  mendapati kandungan dalam CD  sudah tersedia dalam bentuk PDF dan  CD berfungsi dengan baik, bahan berkenaan akan langsung dimuat naik ke dalam platform ETD (Electronic Theses & Dissertations) PSB. Tetapi, sekiranya kandungan CD didapati dalam format MS Word, maka format itu harus ditukar terlebih dahulu kepada PDF  sebelum boleh dimuat naik. Sekiranya CD berkenaan tidak berfungsi atau rosak, proses mengimbas semua helaian looseleaf  ke dalam format PDF harus dilakukan dan proses ini akan mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan.

Koleksi tesis adalah salah satu sumber penting warga Universiti Utara Malaysia (UUM) yang merupakan hasil penyelidikan kakitangan akademik dan bukan akademik serta tesis sarjana dan latihan ilmiah pelajar. Koleksi ini  meliputi judul-judul  yang didigitalkan dan juga yang berbentuk cetakan. Kebanyakkan teks penuh  dalam bentuk cetakan boleh diakses  di  Aras 2 Bangunan Tambahan PSB. Manakala teks penuh dalam bentuk digital,  jika pengguna ingin memuat turun, mereka perlu menghubungi  pengarang dari pautan yang disediakan di laman sesawang PSB.

Mudah-mudahan dengan adanya pasukan ini,  semua backlog tesis  tersebut dapat diproses segera dan semua judul-judul tesis berkenaan  dapat diakses oleh semua pengguna PSB  dan seterusnya membantu  mereka menyiapkan tugasan  pengajian mereka di UUM.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Hanie Azyyati Abdul Jamil