AUDIT KUALITI DALAMAN UUM 2021 DILAKSANA SECARA ‘REMOTE ’

PSB Online – Audit Kualiti Dalaman Universiti Utara Malaysia (UUM) 2021 telah berlangsung sepanjang bulan Ogos dan telah melibatkan semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan Pusat Pengajian (PP) bagi mengaudit pematuhan kepada ISO 9000-2015. Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) adalah tidak terkecuali menerima kunjungan maya para pasukan juruaudit ke PSB.

Pada 22 Ogos 2021, satu Mesyuarat Pembukaan  Audit Kualiti Dalaman UUM 2021 telah berlangsung dengan sempurna. Mesyuarat ini melibatkan barisan juruaudit (auditor) bersama  dua buah PTJ/PP sebagai auditee iaitu PSB dan juga School of Quantitative Science (SQS). Barisan auditor terdiri daripada lima orang dengan diketuai oleh Dr. Mohamad Faizal Bin Ahmad Zaidi, bersama 3 orang ahli iaitu Prof. Madya Dr. Maria Abdul Rahman dan, Prof. Madya Dr. Mazni Omar dan Puan Yati Arikah Mohd Yusoff selain Dr. Nur Khairiel Anuar yang bertindak sebagai pemerhati. Antara objektif utama audit adalah untuk menentukan sama ada UUM melaksanakan pengurusan kualiti berdasarkan keperluan standard MS ISO 9001:2015 selaras dengan objektif kualiti dan dasar kualiti UUM, untuk melihat penambahbaikan berterusan yang bersesuaian bagi peningkatan berterusan dan juga untuk melaksanakan  pemantauan prestasi, pengukuran, pelaporan dan semakan terhadap objektif dan sasaran prestasi. Mesyuarat ini telah diadakan bermula jam 10.00 pagi menerusi aplikasi Cisco Webex.

Menurut Dr. Mohamad Faizal, fokus utama audit kali ini adalah untuk melihat proses dalam pengajaran dan pembelajaran  dan semakan dokumentasi berkaitan yang menyokong pembangunan dan penyampaian program akademik. Tambah beliau, skop audit adalah berkisar kepada  MS ISO 9001:2015, Pelan Strategik dan juga Pengurusan Risiko. Antara agenda semasa  mesyuarat tersebut adalah  sesi pembukaan diikuti dengan penerangan ringkas oleh PP dan PTJ berkenaan aktiviti sepanjang A201-A202. Setelah itu, mesyuarat dilanjutkan dengan perancangan Audit dan keperluan penyediaan dokumen terlibat selain penerangan mengenai bentuk/kaedah audit kali ini dengan dikuti oleh sesi soal jawab.

Agak istimewa audit kali ini kerana kaedah yang digunakan adalah secara ‘remote audit’ kerana kekangan norma baharu yang harus dipatuhi. Selain dari itu, juruaudit juga akan melakukan proses mengkaji (review) dokumentasi dan rekod. Kaedah pemerhatian terhadap proses dan aktiviti juga akan turut dilakukan selain sesi temubual bersama auditee yang bertanggungjawab ke atas proses yang diaudit. Dijangka tarikh yang akan melibatkan PSB adalah pada 25 Ogos di mana pada tarikh ini semakan dokumentasi perpustakaan berkaitan akan dilaksanakan dan sesi temuduga pula akan diadakan pada 26 Ogos 2021. Para auditee juga akan dihubungi melalui platform Cisco Webex dan akan diminta untuk memuatnaik dokumentasi menggunakan GoogleDrive dengan mengikut tema dokumen.

Mengetuai pasukan auditee PSB adalah En. Razak Siamin dengan dibantu oleh Unit Latihan dan Kualiti berserta pegawai-pegawai dan staf terlibat, PSB akan berusaha dan yakin proses Audit Kualiti Dalaman UUM 2021 yang bakal diadakan secara norma baharu ‘remote audit’ ini mampu dihadapi dengan jayanya.

 

 

Disediakan dan gambar oleh : Noraini Alias