PSB Online – Malaysia kini telah memasuki fasa ke lima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka berakhir pada 31 Ogos 2020. Dalam mengekang penularan pandemik COVID -19 ini, masyarakat perlu bergerak ke arah pengamalan norma baharu yang disesuaikan dalam pekerjaan dan kehidupan seharian. Untuk sesebuah komuniti bergerak ke arah itu, inisiatif promosi kesihatan perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk pihak universiti sendiri.
Sehubungan dengan itu, pada 12 Ogos 2020 satu ceramah norma baharu dalam pekerjaan dan kehidupan telah diadakan di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada pukul 3.00 petang. Ceramah ini adalah inisiatif anjuran Unit Latihan dan Kulaiti, PSB dengan kerjasama Jabatan Pendaftar Universiti Utara Malaysia (UUM), Pusat Kesihatan Universiti (PKU), UUM dan Kesatuan Kakitangan (KESKA), UUM. Acara ini juga turut disiarkan secara langsung melalui platform Facebook PSB.
Ceramah ini telah disampaikan oleh Dr. Adi Azhar Bin Abdul Razak Pengarah PKU UUM. Menurut Doktor Adi, “Usaha membudayakan norma baharu di kalangan kakitangan universiti adalah tugas dan tanggungjawab setiap daripada kita. Semua pihak perlu memainkan peranan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperkenalkan kerajaan untuk memastikan negara kita bebas virus merbahaya ini.”
Doktor Adi juga menjelaskan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini kerajaaan telah melancarkan kempen pembudayaan norma baharu dalam komuniti. Budaya ini memberi penekanan kepada 4 teras strategi iaitu kawalan sempadan, kawalan pergerakkan, penjarakan fizikal dan perlindungan diri. Pembudayaan norma baharu dalam komuniti perlu diambil berat oleh setiap individu, keluarga dan komuniti bagi mencegah penularan COVID-19 dalam masyarakat. Kerajaan juga turut memberi penekanan terhadap pendekatan utama melalui CAPP iaitu cegah dan didik, amal, patuh dan pantau untuk membentengi dan melindungi rakyat Malaysia dari jangkitan COVID-19 ini.
Selain itu, Dr. Adi juga menyeru semua kakitangan UUM agar sentiasa berdisiplin dan istiqamah mengamalkan budaya norma baharu dalam aspek perlindungan diri, iaitu menggunakan aplikasi MySejahtera, sentiasa mengisi UUM CODSA walaupun pada hujung minggu ataupun ketika bercuti, sentiasa mengawasi penjarakan fizikal di tempat awam ataupun di pejabat, wajib memakai topeng pelitup muka ketika berada di dalam kampus , menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dan segera mendapatkan rawatan sekiranya bergejala.
Ceramah ini berakhir pada pukul 4.00 petang dengan sesi soal jawab dari hadirin yang ada di dalam auditorium dan juga soalan dari pengunjung Facebook. Marilah bersama-sama kita mengamalkan norma baharu dalam urusan seharian agar semua orang dapat menjalani kehidupan dengan sihat dan sejahtera. Sebagai insan bergelar pekerja khususnya penjawat awam, kita perlu bersedia secara fizikal dan mental mengadaptasi serta mengamalkan norma baharu yang hadir pasca COVID-19 ini
Disediakan oleh : Azniza Ahmad
Gambar : Abdul Hadi Mat Taib